Sunday, August 12, 2012

Kuih Lompat Tikam

"abe, lampu tak hidup lagi nih!" kata adik.
"tu la. salu ok jah. bakpo harini main angin pulok lampu ni."
itulah antara dialog yang sempat aku dengar semasa ziarah kami ke rumah keluarga salah seorang aktivis dakwah yang aktif di temerloh. beliau telah meninggal dunia dan meninggalkan seorang balu serta lapan orang anak. atas kesedaran ukhuwah dan tanggungjawab kami bersama-sama mengadakan iftar bersama di rumah arwah. dalam program kali ini aku bertindak bukan sebagai 'orang kuat' program tapi lebih banyak sebagai perakam detik-detik yang berlaku sepanjang program tersebut. akan aku selitkan beberapa keping gambar yang akan memberi gambaran jelas sepanjang penceritaanku ini.
sesampainya di rumah kami pun bergegas untuk menyediakan juadah yang telah kami masak siap dari rumah lagi. hal ini kerana untuk mengelakkan beban kepada tuan rumah. tetapi seperti di awal kisah tadi lampu di ruang tamu tersebut masih juga belum menyala. jelas kelihatan akan riak kerisauan terpancar di wajah tuan rumah.
jam menunjukkan pukul 7 .15 minit malam.
bila-bila masa sahaja lagi azan akan dilaungkan menandakan telah masuk waktu berbuka bagi kawasan temerloh. namun lampu masih juga belum menyala. persekitaran sudah semakin gelap. lauk-lauk yang tadi jelas kelihatan warna, bentuk dan rasanya(boleh dipegang bukan dimakan tau, puasa kot) kini beransur kelam. tuan rumah semakin risau. tetapi kami sebagai tetamu tidak ambil kisah akan perkara ini kerana beranggapan ini adalah situasi biasa di rumah ini. lagipun kami tidak mahu mengelurakan kata-kata yang mungkin menyinggung hati tuan rumah. seperkara lagi kami berpendapat inilah realiti kehidupan yang kami tidak mungkin perolehi seandainya balik di negeri kami. jadi kami buat sekadar tidak endah walhal perut juga boleh tahan nyanyiannya. masakan tidak seawal 5 pagi telah bersiap-siap untuk ke temerloh. akhirnya atas inisiatif anak sulung, dialihkan sedikit lampu di bahagian dapur untuk dihalakan ke ruang tamu. alhamdulillah, inisiatif berjaya. lauk yang kelam tadinya beransur jelas kelihatan. nasi tomato yang berwarna oren keenakan telah mula menjentik selera. kami pun mula senyum tanda syukur.
tiba- tiba kedengaran suara comel membaca doa sebelum berbuka.
alhamdulillah, kedengaran sangat comel dan bagus. kanak-kanak sekecil itu sudah berani membaca doa untuk kami. aku agak kagum. masakan tidak, kanak-kanak lain pada usia itu sudah pasti malu-malu kucing apabila diminta untuk membaca doa.
seusai lafaz amin tanganku menggapai buah tembikai yang terhidang sebagai santapan pertama menggantikan kurma yang tidak ku jumpa pada malam itu. terasa nikmat sungguh buah tembikai kurniaan ilahi. begitulah nikmat berbuka yang Allah berikan kepada kita setelah seharian berpuasa. tetapi buat inidividu yang tidak berpuasa tidak akan merasai nikmat ini. alhamdulillah..
lalu majlis berbuka pun bermula. kelihatan tuan rumah agak malu untuk makan bersama kami. mungkin agak kekok berbuka dengan orang lain. lantas kami hulurkan lauk pauk, mempelawa makanan yang kami masak, bergurau sedikit untuk meruntuhkan dinding penghalang, alhamdulillah akhirnya kami dapat berbuka dalam keadaan mesra di bawah sinaran lampu yang satu itu. tidak dapat aku gambarkan dengan tepat perasaan ku pada waktu itu. dapat ku bayangkan ketabahan keluarga ini menghadapi kehidupan seharian. kita yang selama ini berbuka dengan makanan yang cukup, tempat yang selesa, ruang makan yang cantik, semua lengkap serba serbi. tetapi Allah memberi aku peluang dan ruang untuk merasai satu pengalaman yang sangat bermakna bagi diriku. terkadang aku terfikir mungkin inilah nikmat kesyukuran yang sering aku lupai selama ini tanpa sedar mahupun sedar. astagfirullah..
sedang aku menjamah makanan, mata aku terpandang dua buah mangkuk berisi pulut berwarna merah dan juga tepung berwarna hijau. sungguh tertarik aku dengan warnanya. tak pernak aku berjumpa dengan kuih sebegitu rupa. kalian pernahkah? lalu aku perhatikan cara kuih itu disediakan. dicampur kedua-duanya kemudian diletak sedikit santan dan disajikan bersama gula merah.
"oh begitu caranya", bisikku.
lantas aku meminta sedikit untuk merasa kuih tersebut. alangkah enaknya kuih tersebut. manis berkrim bercampur kolestrol amat menggamit lidah pada waktu itu. dengan tahap kepekeaanku mulai meningkat dek kemanisan kuih tersebut pada waktu itu lantas aku bertanya,
" kuih apa ni?", tanyaku lembut.
" kuih lompat tikam", jawab adik disebelahku ringkas.
aku agak terperanjat mendengar nama itu. nama yang seakan kejam tetapi punya rasa yang sangat enak dan manis-manis gitu. aku pun tidak berhajat untuk bertanya siapa gerangan yang membuat kuih tersebut kerana kami tidak bersolat lagi. namun dengan tidak semena-mena ada yang memberitahu kuih ini adalah hasil air tangan tuan rumah ini sendiri!
Allahurabbi!
aku terkejut sekali lagi kerana sangkaku rombongan kami yang menyediakan kuih ini. aku seakan kelu kerana dalam keadaan serba serbi kurang tuan rumah tetap mahu menyediakan juadah istimewa untuk kami semua walhal telah dilarang oleh rombongan kami daripada untuk memasak.
disinilah dapat aku rasakan baik budi pekerti dan persahabatan yang murni. walau dalam susah, tetap mahu menyediakan sesuatu yang terbaik untuk kami semua walhal tidak kami pinta semua ini. niat kami untuk meraikan mereka bersama semasa berbuka. namun kami menerima satu hadiah yang tidak tersangka dari pihak tuan rumah.
benarlah kata-kata orang lama,
biar kita miskin harta jangan kita miskin budi.
akhlak baik yang semakin terkikis dalam kalangan umat islam di Malaysia pada hari ini. semakin tinggi harta menggunung semakin berasa di puncak awangan malah hilang sifat berbudi sesama kita. lihat sahaja di bandar-bandar, duduk sederet rumah tetapi tidak pernah bertegur apatah lagi bertanya khabar. masing-masing dengan hidup sendiri. berbeza dengan kehidupan orang yang Allah timpakan ujian harta. mereka berhati terbuka menerima kunjungan, berhati terbuka menerima sumbangan, punya semangat yang kuat untuk teruskan kehidupan, malah punya budi dengan sesama insan.
kita wajar mementingkan perihal diri sendiri tanpa menidakkan apa yang ada di sekeliling kerana kita ini bersaudara. kita punya hak dan tuntutan sesama saudara kita.
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat
(Surah Al-Hujraat 49: Ayat ke 10)
semoga bermanfaat.

4 comments:

  1. program under nisa' malaysia. diminta ambil gambar.

    ReplyDelete
  2. ooo...ptut la tak kenal "mereka"..huhu..ok nanti ada benda nak bincang..telah ku temui...~ hehe

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete